Rabu, 14 November 2012

Ukhuwah:Bina atau Binasa

Bina

Ia sama seperti kita membina sebuah rumah impian.Rumah impian kita itu tidak semestinya besar dan mahal,tetapi rumah impian itu kita bina dengan penuh berhati-hati dan teliti,menggunakan bahan yang baik dan tulen,agar rumah impian kita itu apabila ditiup angin badai ataupun direjami hujan batu ia tetap akan terus berdiri kukuh.Kita tidak menilai rumah impian kita itu pada nilai harga ataupun fizikal luarannya,kita mengukur apabila berada di dalam "rumah impian" itu,kita akan berasa selesa dan bahagia.

Jaringan ukhuwah kita jangan dihadkan kepada sesuatu golongan atau sebahagian manusia sahaja,tetapi binalah hubungan,rapatkan silaturahim dengan sesiapa sahaja yang kita temui.Bukankah Allah s.w.t. menjadikan pelbagai bangsa dan kaum dalam kalangan manusia di muka bumi ini untuk kita membina hubungan baik sesama manusia..??



“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). ”(Al-Hujuraat 49:13)

Jelas sekali perintah dari Yang Maha Pengasih,teguhkanlah jaringan ukhuwah antara manusia agar dapat kita bina sebuah ikatan yang padu,tanda hidup ini saling memerlukan.

Membina bukanlah hanya berkehendak dan bermatlamat kepada sesuatu yang baru,tetapi sesuatu yang lama ataupun binasa perlu juga dibina semula.Jangan dipersalahkan mana-mana pihak jika perpaduan hancur dalam masyarakat dan usah kita mencari kesalahan sesiapa jika kezaliman berleluasa.Hentikan amalan tuding-menuding mencari kesalahan orang lain.Apa yang menjadi keutamaan sekarang adalah kita bina semula perpaduan,kesatuan dan persahabatan yang telah hancur itu.

Binasa


Membinasakan atau menghancurkan tidak sepayah membina,tetapi kesan daripada perbuatan membinasakan lebih perit dan payah untuk ditanggung.Percayalah…!!

Kenapa perlu kita calarkan kesucian fitrah seorang manusia yang suka kepada perkara kebaikan dengan melakukan perbuatan yang membinasakan?Cuba perhatikan dan renungkan ayat-ayat cinta Allah s.w.t  yang ditujukan khas untuk kita ini:

“Dan tolong-menolonglah kalian dalam kebaikan dan takwa, dan janganlah kalian tolong-menolong dalam perbuatan dosa dan permusuhan. Bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah amat berat siksaan-Nya” (Al-Maidah 5: 2).

Jika diri ini tertanam sifat iri hati yang negatif dengan kesenangan orang lain sehingga kita terniat sanggup berusaha untuk membinasakan nikmat yang Allah kurniakan kepada orang itu,cepat-cepatlah kita beristifar kerana bisikan syaitan hampir-hampir sahaja berjaya menarik kita ke lembah kehancuran dan kerugian. Ingatlah..!!Sesungguhnya  Allah itu Maha Pemberi Rezeki kepada hamba-hamba-Nya yang berusaha dan berdoa kepada-Nya.

Sebab pulut santan binasa,sebab mulut badan binasa.Benar,mulut yang tidak menjaga keaiban dan rahsia orang lain akan membinasakan mangsa dan boleh jadi terhadap diri sendiri juga.Begitu juga tangan yang berkuasa disalahgunakan akan membinasakan diri ataupun masyarakat.Kaki ini yang terletak di tempat paling bawah juga mampu membinasakan sesuatu.

Ingatlah…!!Nikmat itu untuk dinikmati dan dimanfaatkan.Nikmat tidak boleh beriringan dengan perkara jahat atau buruk.

Hanya diri yang berpegang teguh dengan ketaatan kepada Allah akan berfikir secara waras untuk menimbang-nimbang sama ada memilih perbuatan yang membina atau membinasa.

“Menulis untuk diri dan orang lain”